Dalam persaingan merebut wilayah di antara Portugis dan Belanda, kompeni
Belanda ternyata lebih bersedia dengan angkatan laut dan tenaga manusia yang
lebih besar. Belanda berjaya mengambil alih Ceylon daripada Portugis melalui
peperangan; menguasai sebahagian wilayah kepulauan Alam Melayu yang diberi nama
baru Indonesia
bermaksud ‘India Yang Jauh’ atau Further India, serta mengambil alih Melaka
dari Portugis dengan secara perundingan pada 1641Belanda menguasai kawasan atau wilayah kepulauan Melayu yang amat luas
serta lama, melebihi 300 tahun, berbanding dengan penguasaan ke atas Melaka di
Semenanjung Tanah Melayu yang agak kecil dan untuk selama 183 tahun (1641 –
1824).
Pengaruh serta penguasaan Belanda ke atas apa yang kemudiannya diberi
nama Indonesia
adalah amat luas lagi mendalam. Ia menerima tentangan daripada penduduk
peribumi yang agak hebat yang mengambil masa agak lama untuk mematahkannya.
Penguasaan ke atas Semenanjung amatlah terbatas dan terhad di wilayah Melaka
sahaja manakala tentangan terhadapnya juga tidak begitu sengit dari orang
Melayu di Semenanjung.
Akibat daripada penjajahan, peperangan dan juga perdagangan itu telah
membawa kepada perpindahan penduduk rumpun-Melayu ke luar Alam Melayu, seperti
ke Ceylon (Sri Lanka), Afrika Selatan, Surinam dan Belanda. Sebahagian besar
mereka berhijrah secara paksaan sebagai hamba yang diperdagang, pesalah dan
buangan politik yang di antaranya adalah ulama dan kerabat diraja, serta
golongan merdahika yang berhijrah secara sukarela sebagai pekerja atau kelasi
kapal dan sebagai tentera upahan. Merekalah yang membawa agama Islam ke sana, dan Islam kekal
sebagai salah satu agama yang dianuti oleh kelompok minoriti yang diiktiraf
kehadiran mereka oleh kerajaan majoriti yang beragama Buddha di Sri Lanka, yang
beragama Kristian di Afrika Selatan,
Surinam dan
Belanda.
Penjajahan Inggeris
16. Inggeris menjajah Persekutuan Tanah Melayu termasuk Singapura dan Borneo
Utara sekadar 80 tahun sahaja tetapi ia meninggalkan kesan yang amat mendalam
dari segi mentransformasikan ekonomi tradisional kepada ekonomi perdagangan,
membina prasarana komunikasi moden, pengenalan urusan pentadbiran birokrasi,
undang-undang tanah, pendidikan moden, serta pengenalan sistem politik
demokrasi dan kehakiman menggantikan Sistem Kerajaan Melayu Lama. Di antara
kesan yang paling besar sekali ialah menjadikan wilayah Alam Melayu ini sebagai
masyarakat majmuk menerusi migrasi besar-besaran orang Cina dan India ke
wilayah ini. Kesan kedua ialah menjadikan orang Melayu di Pulau Singapura, di
Segenting Kra Selatan Myanmar
dan di Selatan Thailand
sebagai pribumi yang berstatus minoriti.
Namun pada zaman penjajahan Inggeris juga diaspora rumpun Melayu adalah
secara kecil-kecilan seperti penghijrahan mereka ke Pulau Cocos dan Pulau
Kerismas yang akhirnya membawa sebahagian mereka berhijrah ke benua Australia.
Terdapat sebahagian kecil mereka yang bekerja dengan kapal perdagangan Inggeris
dan akhirnya memilih untuk tinggal menetap di England seperti di Liverpool.
Kehadiran kapal-kapal perdagangan yang menggunakan enjin kuasa wap yang berulang-alik
dari Alam Melayu ke Timur Tengah telah membolehkan orang-orang Melayu belayar
ke Arab Saudi dan Mesir untuk menuntut ilmu agama Islam serta untuk menunaikan
fardu haji di Makkah. Sebahagian kecil daripada mereka ini yang berasal dari Malaysia dan
Selatan Thailand
memilih untuk mencari pekerjaan dan tinggal menetap di sana sebagai kelompok Melayu diaspora.
Fenomena ini berlanjutan sehingga selepas zaman penjajahan.
Penjajahan Perancis dan Sepanyol
Penjajahan Perancis di negara-negara di Semenanjung Indo-China (Vietnam,
Kemboja, Laos) dan penjajahan Sepanyol ke atas negara Filipina tidak secara
langsung membawa akibat berlakunya penghijrahan rumpun Melayu ke negara-negara
di luar Alam Melayu tidak wujud tekanan dan juga kemudahan untuk mereka meninggalkan
tanah air dan berhijrah ke Perancis atau negara-negara Eropah lainnya.
Tetapi tekanan untuk berhijrah berlaku selepas penjajah Perancis dan
Sepanyol kembali ke nagara mereka kemudiannya disusuli oleh perang saudara
kerana perebutan untuk berkuasa untuk sekian lama; di antaranya kemunculan
pengaruh komunisme yang sedang meningkat dan berjuang untuk menguasai
negara-negara di Semenanjung Indo-China.
Semasa Perang Vietnam
memuncak pada awal 70-an, antara Vietnam Utara yang berfahaman komunis dengan
Vietnam Selatan yang menganuti sistem liberal-demokrasi kedudukan puak minoriti
Melayu Champa tersepit di tengah-tengah gelanggang. Sekumpulan kecil yang
mempunyai kemampuan membayar untuk lari keluar sebagai pelarian perang
berhijrah ke Perancis atau Amerika Syarikat. Majoriti mereka lari mengikut
jalan darat untuk berhijrah ke Kemboja dan menjadi diaspora di sana mewujudkan beberapa buah penempatan yang
diberi nama ‘kampung’.
Nasib rumpun Melayu Champa sama seperti pepatah Melayu ‘sudah jatuh ditimpa
tangga’. Hegemoni komunisme yang ingin mengambil tampuk kuasa di Vietnam merebak
ke Kemboja yang menyaksikan kehadiran gerila komunis Khmer Rouge yang ganas
itu. Mereka akhirnya berjaya mengambil alih pemerintahan dan kekal memerintah
untuk beberapa tahun. Pada waktu itu dianggarkan 750,000 atau separuh daripada
1.5 juta orang-orang Champa beragama Islam di Kemboja terkorban akibat
keganasan gerila dan pemerintah Khmer Rouge.
Kumpulan-kumpulan kecil mereka ini berjaya melarikan diri menyeberangi
sempadan Thailand
dan akhirnya diberi perlindungan di Malaysia. Sebahagian lain yang
mampu dan mempunyai kewangan berhijrah ke negara-negara yang memberi
perlindungan seperti Perancis dan Amerika Syarikat atas nama peri kemanusiaan.
DIASPORA RUMPUN MELAYU FILIPINA, SINGAPURA DAN SELATAN
THAILAND
Perpindahan atau migrasi rumpun Melayu Filipina secara kecil-kecilan
kemungkinannya lebih banyak berlaku pada zaman pasca-penjajahan Sepanyol
daripada semasa sebelum zaman penjajahan. Di antara negara-negara di Dunia
Melayu, Filipina merupakan negara yang lebih mundur dari segi kemajuan dan
pembangunan ekonomi dibandingkan dengan Indonesia, Brunei,
Singapura dan Malaysia.
Bagi mereka yang beragama Kristian di pulau-pulau bahagian utara seperti
Luzon, perpindahan ke luar Alam Melayu berlaku dalam kalangan golongan yang
berpendidikan tinggi dan profesional ke negara-negara Barat yang lebih maju
seperti Amerika Syarikat dan Australia. Bagi penduduk di selatan Filipina yang
beragama Islam, perpindahan lebih merupakan akibat tekanan keadaan politik yang
tidak stabil disebabkan oleh perjuangan untuk mendapatkan kuasa autonomi dari
kerajaan pusat di Manila.
Mereka yang beragama Islam ini lebih banyak terdapat di Arab Saudi dan
negara-negara Islam di Timur Tengah.
Sekumpulan lain yang tidak tergolong dalam kategori ‘diaspora’ atau
bermigrasi secara kekal adalah pekerja peringkat bawahan seperti buruh, pemandu
dan terutama sekali pembantu rumah. Mereka ke Hong Kong
dan Arab Saudi untuk bekerja dalam sektor bawahan tetapi status mereka adalah
perpindahan sementara sebagai pekerja kontrak dan bukan untuk tinggal menetap.
Namun jika ada pilihan, pastinya mereka akan memohon untuk diterima sebagai
pemastautin tetap atau warganegara di negara-negara yang mereka sedang bekerja
di luar Filipina.
Pada masa-masa lalu, terdapat kelompok kecil rumpun Melayu dari Singapura
yang mencari pekerjaan di Pulau Kerismas (dalam pentadbiran Australia) dan di
Australia sebagai penyelam mutiara di utara Australia Barat di Bandar kecil
Broome. Mereka yang bekerja di Pulau Kerismas kemudiannya berpindah ke tanah
besar Australia
untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang jauh lebih lumayan. Sebahagian
besar mereka akhirnya memilih untuk tinggal menetap di Australia
kerana jaminan kehidupan dan gaji yang lumayan.
Pada dekad-dekad yang terbaru, penghijrahan secara kecil-kecilan berlaku
dalam kalangan yang berpendidikan tinggi dan golongan profesional. Penghijrahan
ini dikatakan untuk mencari suasana serta peluang pekerjaan baru yang lebih
baik dibandingkan jika mereka kekal berada di Singapura. Mereka ini
bersama-sama Melayu dari Malaysia serta dari Pulau Cocos dan Pulau Kerismas
mewujudkan komuniti Melayu diaspora di beberapa bandar besar dan kecil di tanah
besar Australia seperti di Perth, Geraldton, South Headland, Kattaning,
Melbourne, Sydney, Brisbane, Darwin dan sebagainya.
Rumpun Melayu keturunan Patani dari wilayah Melayu Selatan Thailand sudah
berada secara kecil-kecilan di Arab Saudi khususnya di kota suci Makkah dan
Madinah sejak beberapa abad yang lalu.
Tujuan asal mereka ke sana
adalah untuk menunaikan fardu haji dan untuk mencari ilmu. Sebahagian kecil
mereka ini kemudiannya mendapat pekerjaan terutamanya pada musim haji yang
menguruskan para jemaah yang datang dari Alam Melayu. Mereka ini kemudiannya
mendapat peluang untuk tinggal menetap di sana.
Gelombang kedua penghijrahan mereka ini ke Arab Saudi disebabkan oleh
keadaan politik yang tidak stabil dan kerana penindasan oleh pemerintah Siam ke
atas penduduk minoriti Melayu di 4 wilayah Selatan Thailand (Yala, Narathiwat,
Patani dan Songkla).
Selain Melayu etnik Patani, terdapat juga sebilangan Melayu dari Malaysia yang
diterima untuk tinggal menetap di Arab Saudi.
Rata-ratanya mereka ini telah mendapat pekerjaan tetap dalam pelbagai sektor
awan serta di sektor swasta. Bagi mereka dan lebih-lebih lagi anak-anak mereka
(generasi kedua) yang berpendidikan tinggi dan berjaya memasuki sektor
pekerjaan profesional, sebahagian besar mereka ini tinggal di kota pelabuhan Jeddah atau di ibu kota Riyard.
"…relations between dominants and minorities as moving through a definite
cycle, with one outcomes, the assimilation of the minority into the dominant
society." (Robert B.Park).
Kita akan menggunakan budaya serta ciri-ciri jati diri penduduk asal di
Alam Melayu ini sebagai kerangka rujukan walaupun kita memahami bahawa kaedah
ini mempunyai masalahnya yang tersendiri disebabkan oleh kepelbagaian budaya
masyarakat rumpun Melayu di Alam Melayu ini. Begitu juga mereka yang telah
berhijrah ke luar lingkungan budaya Alam Melayu datangnya daripada
wilayah-wilayah yang berbeza seperti Melaka (Malaysia), Singapura, Sumatera,
Jawa, Sulawesi, Kepulauan Ternate, Patani (Selatan Thailand), Kemboja, Vietnam,
dan sebagainya. Yang akan cuba
kita cari jawapan ialah apakah ciri-ciri utama yang digunakan apabila
menganggap diri mereka sebagai orang Melayu atau sebahagian daripada rumpun
Melayu.
Melayu Sri Langka
Perbandingan Melayu Sri Lanka dan Afrika Selatan
PERSOALAN BUDAYA DAN JATI DIRI
Para sarjana dan pelajar bidang
antropologi dan sosiologi sering merujuk kepada satu takrifan klasik tentang
kebudayaan yang pernah diutarakan oleh Edward Bernard Taylor yang merumuskan
ciri-ciri berikut sebagai konsep kebudayaan; ‘satu kesatuan yang kompleks
mencakupi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, unsur-unsur
moral, adat resam, serta segala kebolehan dan tabiat manusia sebagai ahli dalam
sesebuah masyarakat’ (E.B. Taylor 1871).
Dari perspektif yang lain, perkataan budaya adalah cantuman daripada dua
perkataan budi dan daya. ‘Budi’ bermaksud akal atau kebijaksanaan manakala
‘daya’ bermaksud tenaga, kekuatan atau kemampuan. Cantuman dua perkataan ini
memberi erti segala yang dicipta oleh manusia menerusi pemikiran serta perbuatannya
yang dimanifestasikan dalam bentuk material mahupun bukan material (Wan Hashim
1995: 218).
Jati diri atau identiti pula adalah ciri-ciri budaya dan latar belakang
sejarah yang memperkenalkan seseorang atau satu-satu kaum atau kelompok manusia
seperti etnik atau ras yang membezakan mereka daripada kelompok lain. Tanggapan
orang lain terhadap sesuatu kelompok manusia atau kaum juga menyumbang kepada
pembentukan jati diri sesuatu kelompok manusia atau kaum.
Walaupun rupa, wajah atau warna kulit tidak semestinya dijadikan sebagai
unsur penting jati diri sesuatu kaum tetapi dalam konteks kajian ini, ia boleh
dianggap sebagai suatu unsur yang boleh diambil kira. Ini guna untuk dibuat
perbandingan persamaan atau perbezaan di antara wajah atau paras rupa Melayu
diaspora yang sesetengahnya telah berada jauh dari Alam Melayu sejak 200 – 300
tahun yang lalu dan sesetengah yang lain merupakan generasi pertama atau
generasi kedua yang baru berhijrah ke negara-negara lain kurang daripada 100
tahun.
Kertas kerja ini menggunakan pernyataan atau kerangka sebuah teori besar
yang diajukan oleh Robert E. Park mengenai hubungan kumpulan minoriti dengan
masyarakat domain seperti katanya:
Ada
persamaan yang nyata ciri-ciri dua kelompok Melayu diaspora di Sri Lanka dan
Afrika Selatan. Pertama, masa penghijrahan ke luar yang hampir sama, iaitu
bermula pada awal kurun ke-16 apabila Portugis menguasai Melaka. Sebahagian
mereka dari Melaka dibawa ke Ceylon
sebagai hamba, kelasi kapal, atau pekerja sukarela yang menyertai pasukan askar
upahan. Penghijrahan ke Ceylon
dan Afrika Selatan meningkat dari segi bilangan apabila Belanda menguasai
Melaka dan sebahagian besar wilayah kepulauan Alam Melayu. Selain hamba,
pekerja sukarela dan banduan, turut sama berhijrah tetapi dengan secara paksaan
ialah ulama dan kerabat diraja yang ditawan dan akhirnya dibuang negeri kerana
mengetuai pasukan atau kebangkitan peribumi menentang penjajah Belanda.
Bilangan mereka di Sri Lanka
hari ini dalam sekitar 60,000 orang manakala di Afrika Selatan sekitar 500,000
hingga 600,000 penduduk.
Dari segi bentuk rupa, warna kulit atau wajah, sebahagian besar tidak lagi
menyerupai bentuk rupa atau wajah rumpun-rumpun Melayu di Alam Melayu ini. Di
Sri Lanka, majoriti mempunyai rupa dan wajah orang India Muslim, termasuk
pakaian wanitanya yang memakai sari sebagai pakaian harian. Dalam perkahwinan,
mereka mengikut adat resam Hindu apabila pihak wanita menghantar mas kahwin
kepada keluarga pengantin lelaki. Bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa
persuratan dan pertuturan rumpun Melayu di Afrika Selatan telah mula pupus
sejak akhir abad ke-19 atau awal kurun ke-20 yang lalu. Di Sri Lanka, golongan
tuanya masih bertutur dalam bahasa Melayu creole atau pidgin yang tidak mudah
difahami oleh orang Melayu dari Malaysia
atau Indonesia.
Tiga unsur penting yang meletakkan mereka sebagai orang Melayu adalah
pertama, beragama Islam; kedua, mampu menyusur galur keturunan mereka yang
berasal dari Alam Melayu dan ketiga; pengenalan diri (self identification) atau
memperkenalkan diri mereka sebagai orang Melayu. Sebagai tambahan, mereka juga
menyimpan beberapa artifak budaya serta bahan tulisan seperti kitab suci
al-Quran tulisan tangan dan khat jawi yang ditulis oleh nenek moyang mereka
pada kurun-kurun ke-18 atau ke-19 dahulu. Perlu diperingatkan di sini bahawa,
mereka telah berada di Afrika selatan dan Sri Lanka sejak 200 hingga 300 tahun
yang lalu. Ini membawa kepada penghakisan jati diri dan budaya mereka yang asal
termasuk bahasa Melayu yang telah pupus, serta amalan adat resam. Yang masih
kekal kukuh pegangan mereka ialah kepada agama Islam.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm
sumber: http://www.dbnl.org/tekst/binn011sran01_01/binn011sran01_01_0007.php
Perbandingan Rumpun Melayu di Australia, Arab Saudi
dan Surinam
Sebahagian besar rumpun Melayu yang kini tinggal menetap di Australia dan
Arab Saudi berhijrah ke sana
pada sekitar abad ini. Di Australia, masih ramai mereka itu dari kalangan
generasi pertama yang berhijrah dari Pulau Cocos atau Pulau Kerismas serta Malaysia dan
Singapura. Amat jelas mereka masih bertutur dalam bahasa Melayu sebagai bahasa
ibunda, berpegang kuat kepada agama Islam, mengamal adat resam Melayu dan
berpakaian cara Melayu seperti orang-orang Melayu di Malaysia dan Indonesia.
Bagi generasi kedua yang dilahirkan di sana, mereka masih bertutur dalam
bahasa Melayu tetapi fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan mulai menerima
budaya kehidupan golongan remaja di sana seperti meminati lagu dan muzik pop
dan filem cereka dari barat. Budaya popular termasuk juga cara mereka
berpakaian amat mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Adalah dijangkakan
bahawa kemungkinan besar bahasa Melayu akan secara perlahan-lahan terpinggir,
manakala bahasa Inggeris akan menjadi bahasa utama bagi generasi ketiga dan
seterusnya.
Keadaannya agak sama dengan budaya dan kehidupan orang-orang Melayu yang
kini menetap di Arab Saudi. Bilangan mereka relatifnya lebih ramai terutama di kota suci Makkah dan di
Jeddah. Kedua-dua generasi pertama dan kedua masih fasih berbahasa Melayu,
tetapi lebih selesa berpakaian cara orang-orang tempatan, amalan adat resam campuran
Arab dan Melayu, serta berpegang kuat kepada agama Islam. Ciri-ciri jati diri
Melayu mereka ialah beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan
mengamalkan sebahagian adat resam Melayu serta Arab (tempatan). Mereka juga
fasih bertutur dalam bahasa Arab yang bakal mengambil alih dan menjadi bahasa
ibunda bagi generasi ketiga dan seterusnya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian
bahawa ibu bapa mereka lebih cenderung bertutur dalam bahasa Arab dengan
anak-anak mereka (generasi kedua yang dilahirkan di sana).
Keadaannya agak sama dengan rumpun Melayu di Surinam yang sebahagian besarnya
berasal dari Jawa dan Sumatera. Generasi pertama penduduknya berhijrah pada
sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20; bermakna mereka sudah berada di sana sekitar 100 tahun.
Namun mereka masih tetap dapat mengekalkan ciri-ciri jati diri yang demikian,
malah lebih dominan daripada rumpun Melayu di Australia dan Arab Saudi. Mereka
mengamalkan kehidupan berkampung sesama mereka, fasih bertutur dalam bahasa
Melayu ala Indonesia;
berpegang teguh kepada agama Islam serta mengamalkan adat resam yang dibawa
dari Jawa dan Sumatera. Mereka juga mempunyai pasukan-pasukan kesenian tradisi
seperti tarian kuda kepang dan enggau-enggau, lagu dan muzik Melayu-Indonesia,
seni pencak-silat, bergendang rebana dan berkompang. Faktor jumlah dan peratus
penduduk yang relatifnya tinggi iaitu 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk
sebanyak 400,000 orang sahaja di Surinam. Tiadanya unsur budaya dominan seperti
di Australia
(budaya Eropah) dan di Arab Saudi (budaya Arab-Islam) membolehkan rumpun Melayu
Surinam
mengekalkan jati diri mereka sebagai penduduk diaspora (pendatang) dari rumpun
Melayu
Perbandingan Melayu Minoriti di
Singapura, Selatan Thailand
dan Selatan Myanmar
Pertukaran status kelompok Melayu menjadi minoriti di Singapura,
adalah akibat secara langsung kehadiran Inggeris sebagai kuasa besar
kolonial yang telah membenarkan penghijrahan orang-orang Cina ke selatan
memasuki Alam Melayu secara besar-besaran mulai pertengahan abad ke-19
hingga pertengahan abad ke-20 yang menjadikan pulau Singapura dulunya
dihuni oleh orang Melayu sahaja tetapi kini didominasi oleh kaum pendatang
dari negeri Cina. Ciri-ciri asal kemelayuan pulau itu hampir tidak
kelihatan lagi apabila kampung-kampung tradisi Melayu dipecah dan
dimusnahkan menjadikan kawasan-kawasan enclaves itu sebagai tempat tinggal
untuk semua kaum melalui pembinaan rumah-rumah pangsa. Para
intelektual cerdik pandainya serta mereka yang berkemampuan sebahagian
besarnya telah berpindah ke Malaysia atau ke negara-negara
lain seperti Australia.
Peratus penduduk Melayu kini dianggarkan sekitar 15% sahaja dan mereka
tidak memainkan peranan penting dalam menguruskan negara itu sejak
Singapura dipisahkan dari Malaysia pada 1965 dahulu. Dalam bahasa salah
seorang pengkajinya Lily Zubaidah Rahim yang kini telah berhijrah ke
Australia, masyarakat Melayu di Singapura hari ini adalah masyarakat
pinggiran dalam segala segi terutamanya dalam bidang kehidupan yang
strategik seperti ekonomi dan pendidikan (Lily Zubaidah Rahman 2004).
Namun disebabkan kedudukan mereka berada di tengah-tengah masyarakat
Melayu induk di Malaysia, Brunei dan Indonesia, mereka masih berusaha dan
berjaya mengekalkan jati diri yang berpaksikan agama Islam dan amalan adat
resam Melayu yang mereka warisi dari nenek moyang mereka. Jika tahun-tahun
40, 50 dan 60-an dahulu, untuk selama 30 tahun atau lebih Singapura amat
dikenali sebagai nadi dalam perkembangan intelektual dan kegiatan
persuratan Melayu, kini saki bakinya pun sukar untuk dicari, hasil
daripada usaha meminggirkan penduduk peribumi Melayu itu dengan secara
terancang.
Sejarah rumpun Melayu Patani di utara Semenanjung atau kini dikenali
sebagai Wilayah Melayu Selatan Thailand merupakan satu lagi
episod sejarah rumpun bangsa Melayu yang malang. Ia adalah salah satu masyarakat
Melayu berkerajaan yang paling awal di wujudkan selepas kerajaan Melayu
Champa, iaitu dipercayai muncul pada kurun pertama atau kedua kurun Masehi
menggunakan nama Langkasuka atau mengikut catatan Cina
"Lang-Ya-Shu". Pada abad ke-15 atau awal abad ke-16 namanya
bertukar menjadi Patani.
Bermula sekitar abad ke-13, bangsa Tai dari pinggir selatan negeri China mula
berhijrah ke selatan untuk menguasai kawasan Segenting Kra hingga ke
Semenanjung. Penjajahan ke atas negeri-negeri Melayu utara Semenanjung
oleh bangsa Tai itu berhasil dalam abad ke-19 melalui dasar pecah dan
perintah. Apabila memasuki abad ke-20, dan dengan bantuan kerajaan
Inggeris, perjanjian Anglo-Siamese Treaty 1909 dimeterai yang meletakkan
negeri-negeri Melayu Selatan Thailand di bawah kerajaan Thailand.
Untuk selama lebih 100 tahun, kerajaan Thailand menggalakkan
penduduknya berhijrah ke wilayah selatan secara beramai-ramai untuk
menduduki wilayah Melayu itu. Dasar asimiliasi kerajaan Thailand
yang agresif mempercepatkan kehilangan jati diri bangsa Melayu yang
berjumlah sekitar 3 juta orang itu. Perjuangan untuk pemisahan oleh puak
radikal dan militannya sudah lama berjalan tanpa menampakkan hasil kecuali
menambahkan ramai rakyatnya terkorban. Pertumpahan darah berlaku tanpa
belas kasihan. Terbaru, Perdana Menteri Malaysia cuba mencetuskan idea
untuk diberi autonomi pada wilayah yang sentiasa bergolak itu seperti yang
diperjuangkan oleh rumpun Melayu-Islam di Selatan Filipina, tetapi
disambut dingin dan amarah oleh pemimpin-pemimpin di Bangkok. Jalan untuk
mendapatkan penyelesaian adalah amat sukar kecuali jika mendapat restu dan
campur tangan dari Bangsa-bangsa Bersatu.
Sekitar 100,000 masyarakat Melayu Selatan Myanmar di Segenting Kra
masih mampu hidup berkampung mengamalkan adat resam bangsa Melayu serta
berpegang teguh kepada ajaran Islam. Tetapi dalam aspek kehidupan yang
strategik seperti kegiatan ekonomi dan pendidikan, mereka turut terpinggir
dan ketinggalan.
RUMUSAN
Kedudukan rumpun Melayu diaspora amatlah pelbagai. Mereka yang
berhijrah sejak 200 hingga 300 tahun yang silam sudah berasimilasi dengan
masyarakat dan budaya masyarakat dominan seperti di Afrika Selatan dan Sri
Lanka. Namun, Islam serta susur galur sejarah penghijrahan mereka ke sana
serta pengakuan diri mereka sebagai orang Melayu merupakan unsur penting
untuk mereka dilabelkan sebagai orang atau keturunan Melayu.
Lebih awal daripada itu ialah penghijrahan rumpun Melayu ke Pulau
Madagaskar sekitar 500 hingga 1000 tahun yang silam. Kelompok ini sudah
berjaya membina jati diri baru yang unik serta berjaya menubuhkan kerajaan
yang pertama di pulau itu yang melayakkan mereka diiktiraf sebagai
peribumi Pulau Madagaskar.
Rumpun-pumpun Melayu yang berhijrah kurang daripada 100 tahun ke
beberapa negara seperti Arab Saudi, Australia, Eropah dan Amerika serta
mereka yang berhijrah ke Surinam masih berjaya mengekalkan jati diri
dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian,
mengamalkan adat resam Melayu, dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Masyarakat Melayu minoriti di Selatan Thailand, Selatan Myanmar serta
di Singapura berada di bawah dominasi budaya dan masyarakat dominan yang
cuba mengasimilasikan mereka ke dalam masyarakat dominan bukan Melayu.
Mereka menghadapi cabaran yang getir untuk mempertahankan atau mengekalkan
jati diri sebagai rumpun bangsa Melayu.
Sumber
UKM
No comments:
Post a Comment